Hidup ini umpama...

Kenal diri - kenal Allah...
 
Manusia hendaklah mengenal kejadian diri sendiri barulah mereka akan kenal Allah, mereka perlu mengenal asal-usul mereka, kejadian manusia ciptaan Allah terdiri daripada dua unsur atau komponen yang besar pada diri mereka, iaitu roh dan jasad.
Pada awalnya Allah menjadikan manusia dalam bentuk roh, kalau dikira umur manusia dalam bentuk roh tiada siapa yang lebih muda dan tiada pula siapa pun yang lebih tua.( wallahu aklam ), cuma ketika dimasukkan roh ke dalam badan barulah ada perbezaan umur atau perbezaan waktu di mana roh masing-masing di masukkan di dalam badan ketika berada di dalam perut ibu.setelah mereka dilahirkan barulah dikira jangka usia manusia iaitu ketika hidup di dunia.

(
Roh setelah dijadikan Allah tidak akan mengalami kerosakan, roh akan kekal selama-lamanya, roh hanya berlaku perbezaan alam sahaja iaitu alam roh, roh di dalam badan ketika di dalam perut ibu, roh di dalam badan setelah dilahirkan dan berada di dunia ini dan roh setelah keluar daripada badan (mati) dan berada di alam kubur, roh akan berada di dalam badan semula setelah dibangkitkan di Padang Mahsyar, kemudian berpindah pula ke syorga atau neraka , dua tempat ini bersifat kekal selepas diwujudkan Allah, sebelumnya tiada, sebelumnya syorga tiada dan neraka pun tiada kemudian Allah jadikan )
Ringkasnya alam yang terpaksa dilalui manusia adalah seperti berikut;
(1) Alam roh.
(2) Alam ketika di dalam perut ibu.(roh berada di dalam badan - janin )
(3) Alam selepas dilahirkan. (roh berada di dalam badan - bayi sehinggalah dewasa dan mati )
(4) Alam barzah - alam kubur. ( roh keluar dari badan dan kembali berada di alam roh )
(5) Alam akhirat - dibangkitkan dari alam kubur dan dimasukkan semula roh ke dalam badan, iaitu setelah badan disempurnakan semula - sama ada ke syorga atau neraka - di sinilah destinasi musafir yag dipaksakan - di mana perjalanannya tiada ikhtiar untuk mengelakkannya )



Sekiranya manusia memahami dan mengenali kejadian dirinya yang telah dijadikan Allah, maka mereka juga akan mengenali Allah serta menyedari bahawa Allah Maha Pencipta, Maha Berkuasa, Maha Bijaksana dan mempunyai sifat-sifat kesempurnaan yang lain.Perjalanan hidup atau musafir tersebut bukanlah sesuatu yang sukarela atau mempunyai pilihan, sebaliknya sesuatu yang dipaksakan ke atas mereka kerana itulah perancangan yang dikehendaki Allah. Apa yang berlaku itu adalah atas iradah dan kehendak Allah, oleh itu semua perintah dan suruhan Allah wajib dipatuhi, sama ada patuh atau sebaliknya kedua-duanya akan menerima balasannya nanti, iaitu sama ada syorga atau neraka.

Persediaan menghadapi ujian.

Manusia akan menghadapi ujian sejak di dalam perut ibu, mereka mulai rasa lapar dan sakit sejak berada di dalam perut ibu, di sinilah detik permulaan bermulanya ujian terhadap manusia, ujian ketika ini mereka menerimanya berdasarkan nasib dan takdir yang telah ditentukan Allah, mereka tiada ruang untuk berikhtiar, jika terdapat ikhtiar pun hanya bergantung kepada ikhtiar yang dilakukan oleh ibu, itu pun jika ibu menyedari bahawa janinnya sedang menghadapi masalah atau ujian.

Manusia memerlukan persediaan untuk menghadapi ujian ketika dalam tempoh telah baligh sehingga ke akhir hayat kerana dalam tempoh tersebut ujian yang mereka hadapi akan dinilai oleh Allah.yang mana nilai itu diistilahkan sebagai pahala bagi mereka yang taat dan dosa untuk mereka yang derhaka kepada Allah.

Manusia perlu menjaga jasad supaya jasad sentiasa sihat, jasad seperti mana kita maklum ianya terdiri daripada beberapa kompenan, di antaranya jantung, hati, otak, limpa dan seumpamanya, manakala roh pula mempunyai dua unsur yang penting yang tersirat di dalamnya, iaitu akal dan nafsu. Semua kompenan ini memerlukan makanan, badan (jasad) memerlukan makanan yang berbentuk kebendaan, manakala roh memerlukan makanan yang berupa maknawi.

Dalam memenuhi kehendak jasad dan roh ini manusia dikehendaki patuh kepada perintah Allah, Makanan jasad seperti yang telah disebutkan ianya berbentuk kebendaan seperti makanan ruji, beras, gandum dan seumpamanya, jasad juga memerlukan minuman, udara dan lain-lain, semua makanan ini hendaklah diambil dalam kadar sederhana dan halal.

Makanan roh pula berbentuk maknawi atau abstrak yang perlu dimasuk dan disemaikan ke dalam akal atau minda, iaitulah pelajaran dan pendidikan yang diambil daripada al.Quran dan al.Hadis.Pelajaran dan pendidikan ini akan memandu mereka ke jalan yang benar dengan itu perjalanan atau musafir mereka akan sampai ke destinasinya yang betul dan memberi kebahagiaan.

Pendidikan inilah yang membantu manusia untuk membuat pertimbangan yang betul di dalam hidup mereka, ianya juga mampu menghindarkan sebahagian besar gangguan syaitan yang ingin menggagalkan ujian Allah terhadap manusia dan menjarakkan manusia dengan Allah.
 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: